Kes kelar anak sendiri sampai mati, bapa mengaku “Saya Sayang Anak Saya”

HULU LANGAT 25 Feb. – “Saya sayang anak saya,” kata seorang bapa yang menghadapi tuduhan mengelar anak perempuan bongsunya berusia tujuh tahun sehingga mati dan cuba membunuh dua lagi anak perempuannya di Bandar Baru Bangi dekat sini, bulan lalu.
Norazman Mohamad, 43, berkata demikian dengan nada perlahan semasa jurubahasa membaca semula pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini.

Tertuduh yang bertubuh kecil dengan sebahagian kepalanya berbalut akibat kecederaan yang dialami hanya menggeleng kepala dan berkata ‘saya sayang anak saya’ seterusnya mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap dua pertuduhan cuba membunuh anaknya, Maryam, 10, dan Liyana, 12, sehingga menyebabkan kecederaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam rumah No, 21 Jalan 4/9G Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, dekat sini, kira-kira pukul 4 petang, 30 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Sebelum itu, pertuduhan terhadap lelaki berkenaan yang didakwa membunuh anak perempuan bongsunya, Zulaikha menggunakan parang di tempat, masa dan tarikh yang sama dibacakan semula, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Pertuduhan tersebut dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Abirami mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Abdul Jalil kemudian menegaskan, keputusan pemeriksaan psikiatri terhadap tertuduh tidak akan diputuskan hari ini sebaliknya menetapkan 26 Mac ini, bagi mendapatkan laporan kimia, forensik dan bedah siasat.
Norazman yang pertama kali dihadapkan ke mahkamah hari ini telah didakwa atas tiga pertuduhan tersebut di Wad 2 Lelaki, Hospital Kajang ketika dia sedang mendapatkan rawatan akibat kecederaan di kepala pada 7 Februari lalu.
Yang turut hadir mendengar prosiding kali ini ialah isterinya, Umi Supya Ismail, 42, dan anak-anak serta beberapa ahli keluarganya.
Terdahulu, peguam Norah Abu Bakar yang mewakili Norazman, memohon mahkamah membenarkan anak guamnya itu menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.
Ini bagi membolehkan pihak pembelaan mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan sekiranya tertuduh didapati mengalami masalah mental.
Katanya, waktu sekarang adalah masa yang sesuai untuk pemeriksaan tersebut dan tindakan menunggu laporan forensik dan kimia akan mengambil masa yang lama.
Perkara ini disokong oleh seorang lagi peguam mewakili tertuduh, Nasar Khan Mirbas Khan yang memohon pemeriksaan tersebut dilaksanakan secepat mungkin bagi merujuk keadaan mental tertuduh semasa kejadian.
Bagaimanapun, Abirami membantah permohonan itu dan menegaskan, Timbalan Pendakwa Raya di Mahkamah Tinggi akan mengemukakan permohonan pemeriksaan mental itu apabila kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Tertuduh yang menganggur turut diwakili seorang lagi peguam, Lailawati Husain.

Sumber: suarainsan

0 Response to "Kes kelar anak sendiri sampai mati, bapa mengaku “Saya Sayang Anak Saya”"

Post a Comment