Kritikan Secara Terbuka Dr Mahathir Pada Najib Razak Mengejutkan Penganalisis

Kritikan secara terbuka Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mengejutkan penganalisis yang mengandaikan kekalahan Datuk Mukhriz Mahathir dalam pemilihan Umno lalu mungkin menjadi pemangkin kepada serangan itu.
Bagaimanapun, penganalisis berpendapat, masyarakat Malaysia hari ini lebih terbuka terhadap kritikan berbanding zaman pemerintahan Dr Mahathir dari 1981 hingga 2003 dahulu.


“Saya melihat landskap politik di Malaysia sudah dapat menerima kritikan namun persoalannya sama ada dibenarkan atau tidak, Dr Mahathir tetap diberikan kebenaran untuk memberikan pandangan,” kata Pensyarah Universiti Pengurusan Singapura, Profesor Bridget Welsh ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam.
“Dr Mahathir tidak puas hati terhadap keputusan pemilihan Umno. Kita pun tahu calon yang diinginkan Dr Mahathir bagi meneruskan kuasanya,” katanya.
Welsh berkata, Najib sudah berdepan cabaran yang sangat getir daripada pembangkang dan kini beliau terpaksa berdepan tentangan daripada veteran Umno sendiri.
“Tiba masa Najib mengorak langkah sendiri dengan keputusan pemilihan Umno yang diumumkan tempoh hari,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Jayum A Jawan, berkata kritikan Dr Mahathir itu mahu menyumbang kepada pengukuhan kepimpinan Najib, tetapi tidak kena pada tempatnya.
Katanya, jika teguran disampaikan dengan cara betul maka Najib pasti dapat menerimanya malah teguran seperti itu memberi kesan besar apabila seorang negarawan yang melakukannya.
“Saranan Dr Mahathir itu mungkin berpunca daripada kekalahan Mukhriz dalam merebut jawatan naib presiden Umno namun kekalahan itu perlu dilihat kekurangan 10 undi bahagian sahaja berbanding Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
“Ada asasnya jika Dr Mahathir tidak berpuas hati terutama kepada sistem pemilihan Umno yang jelas tidak menggambarkan suara keseluruhan perwakilan. Memberi pemberat kepada semua bahagian sama iaitu satu bahagian dengan satu undi adalah perkara yang tidak wajar.
“Saya melihat Dr Mahathir mahu menyumbang tetapi dengan cara tidak berhemah. Perdana Menteri tidak seharusya dikritik sebegitu rupa,” katanya.
Jayum berkata, keadaan ini seperti memberi peluru kepada pembangkang dan tidak membantu kepada pembangunan parti.
Katanya, kritikan ini bukan baru kerana sebelum ini Dr Mahathir pernah berbuat demikian tetapi tidak merujuk kepada Perdana Menteri.
“Najib harus menerima pandangan Dr Mahathir secara terbuka untuk menerima semua kelemahan yang dilontarkan. Najib menjadi pemimpin kepada semua maka tidak mudah bagi beliau melayan kerenah semua pihak terutama parti politik.
“Seeloknya Dr Mahathir tidak campur tangan dalam urusan kerajaan selepas bersara kerana nasihat itu boleh diberi secara peribadi dan bukan kepada media.
“Dr Mahathir mempunyai saluran untuk menyampaikan saranan beliau tanpa perlu mencabar kepimpinan semasa. Perkara ini juga yang diterima Dr Mahathir semasa mula menjawat jawatan Perdana Menteri dahulu apabila menerima tekanan daripada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, berkata Dr Mahathir menjadi punca kepada kecelaruan politik negara.
Katanya, apabila Dr Mahathir meletakkan jawatan maka urusan pentadbiran negara perlu ditinggalkan kepada pemimpin negara sekarang supaya mereka selesa dan pentadbiran lebih kuat.
“Pemimpin dunia lain seperti Tony Blair, Bill Clinton dan Margaret Thatcher faham mereka adalah pemimpin yang melepaskan jawatan dan tidak ikut campur kepada pemimpin sekarang.
“Masalah pasti berlaku jika pemimpin yang sepatutnya bersara tidak bersara. Jika ada perkara yang hendak disampaikan bukan melalui media dan boleh disampaikan secara peribadi,” katanya.
Wan Saiful berkata, inilah demokrasi yang lebih sihat berbanding zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Shaharuddin Badaruddin, berkata landskap politik dua pemimpin itu berbeza kerana Najib berdepan cabaran masyarakat yang lebih besar berbanding pendekatan Dr Mahathir yang lebih menggunakan kuasanya.
“Semasa zaman Dr Mahathir, sokongan kepada BN masih kuat dan suara pembangkang belum menjadi kuat. Jika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sekarang, beliau juga akan berdepan masalah sama,” katanya.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Asia Tenggara, Singapura, Ooi Kee Beng, berkata Dr Mahathir cuba menyampaikan konsep kesederhanaan kepada kerajaan dan mengajak untuk membentuk kerajaan yang lebih stabil.
“Saya sokong saranan seperti ini. Kerajaan perlu mendengar tetapi pada masa sama perlu mempunyai hala tuju sendiri dengan tidak mengikut sepenuhnya kepada saranan yang diberi.
“Kerajaan perlu fokus dan melakukan apa yang terbaik untuk negara,” katanya.
Dr Mahathir semalam menyifatkan pentadbiran Najib lemah disebabkan melayan kehendak ekstremis pembangkang serta semakin kurang mendapat sokongan.
Bekas Perdana Menteri itu belum pernah mengkritik pentadbiran Najib sejak Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya pada April 2009.
Beliau pernah berkata bahawa pemerintahan Najib jauh lebih baik berbanding Abdullah. – 29 Oktober, 2013. – themalaysianinsider

0 Response to "Kritikan Secara Terbuka Dr Mahathir Pada Najib Razak Mengejutkan Penganalisis"

Post a Comment