PM Beri Sumbangan RM10,000, Upah Haji Untuk Semua Lapan Mangsa Lemas

SEGAMAT – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  bersetuju menyumbang RM10,000 kepada keluarga lapan remaja lelaki yang terkorban dalam tragedi lemas di Sungai Buloh Kasap di sini Jumaat lalu.

Presiden UMNO itu juga bersetuju untuk membiayai upah haji (badal haji) ke atas semua mangsa terbabit yang akan dikendalikan Lembaga Tabung Haji pada musim haji antara Julai dan Ogos tahun ini.



Hasrat perdana menteri itu disampaikan Pengerusi Biro Kebajikan Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mewakili beliau menyerahkan sumbangan itu di Dewan Islam, Taman Mewah, Buloh Kasap di sini hari ini.

“Saya sudah minta restu dan izin daripada keluarga mangsa dan mereka terharu dengan sumbangan Perdana Menteri dan mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan beliau ke atas mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada keluarga mangsa tragedi lemas itu.

Turut hadir Pegawai Daerah Segamat, Abdul Rahim Nin dan Ketua UMNO Bahagian Segamat Zahari Sarip.

Abdul Azeez berkata sumbangan itu membuktikan Perdana Menteri dan Umno amat prihatin terhadap mangsa-mangsa tragedi itu dan mengharapkan sumbangan itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban keluarga mangsa.

Beliau yang juga Pengerusi Tabung Haji berkata, Umno akan menjelaskan kos upah haji yang dianggarkan kira-kira RM3,000 bagi setiap seorang mangsa kepada lembaga itu bersama senarai nama mereka.

Abdul Azeez mahu masyarakat Malaysia mengambil contoh semangat setia kawan yang ditunjukkan ketujuh-tujuh orang yang terkorban dalam tragedi itu yang sanggup mengorbankan nyawa mereka demi menyelamatkan nyawa seorang rakan mereka.

“Semangat empat orang rakan mereka yang bertindak menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan pertolongan juga patut dipuji,” katanya ketika berucap selepas membaca Yasin dan bertahlil bersama penduduk taman itu di dewan berkenaan.

Walaupun wang tidak sama nilainya dengan kehilangan anak mereka, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan beban mereka untuk menguruskan pengebumian dan kenduri arwah mangsa tragedi itu, katanya. – BERNAMA

0 Response to "PM Beri Sumbangan RM10,000, Upah Haji Untuk Semua Lapan Mangsa Lemas"

Post a Comment