Rayuan BR1M Dipertimbangkan

ARAU – Setiap rayuan rakyat yang permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ditolak akan diteliti dan dipertimbang dengan sewajarnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Katanya permohonan mereka ditolak sebelum ini atas banyak sebab termasuk masalah teknikal terutama bagi yang pertama kali memohon.

Rayuan diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat dan jumlahnya masih dikumpul, katanya kepada pemberita di majlis penyampaian BR1M peringkat Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang, di sini hari ini.
Katanya rayuan yang diterima akan dibincang dalam mesyuarat kabinet Rabu depan.
Shahidan yang menyifatkan BR1M sebagai tanda kasih sayang kerajaan terhadap rakyat, berkata beliau akan mencadangkan kepada kabinet agar hari penyampaian BR1M dijadikan ‘Hari Rakyat’.
Pada hari itu agensi dan jabatan yang berkenaan dilibatkan bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat, katanya.
Menurut Shahidan masih ramai rakyat yang suka dengan kaedah pemberian secara bersemuka sekalipun penyaluran menerusi akaun bank lebih pantas.
Mengenai BR1M di kawasan Parlimen Arau, Shahidan yang juga anggota parlimen kawasan itu, berkata sebanyak 10,355 penduduk layak menerima bantuan tersebut dan agihan dijangka selesai Ahad ini.
Ini akan diikuti agihan bagi kawasan Parlimen Padang Besar pada 4,5 dan 6 Mac, serta Kangar pada 7, 8 dan 9 Mac, katanya. – BERNAMA

0 Response to "Rayuan BR1M Dipertimbangkan"

Post a Comment