Lelaki tumbuk sepupu wanita hingga patah hidung kerana geram dengan gurauan


KUANTAN: Seorang lelaki menumbuk sepupu wanitanya sehingga patah hidung kerana geram dengan wanita itu yang mengambil dompetnya sebagai satu gurauan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Supt Mohd Haris Daud berkata sebelum kejadian, lelaki berusia 22 tahun itu pergi berjumpa sepupunya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai perabot di Raub, pagi semalam.
Beliau berkata sebelum beredar, dompet lelaki terbabit telah diambil oleh sepupunya berusia 24 tahun tanpa disedari sebagai satu gurauan.

"Kira-kira 12 tengah hari itu, wanita tersebut ke rumah sepupu lelakinya di Taman Raub Jaya untuk memulangkan semula dompetnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya selepas memulangkan dompet berkenaan, mangsa yang hendak pulang telah dihalang oleh sepupu lelakinya itu, yang melepaskan tumbukan ke bahagian muka sepupunya selain menyepak dan menghantuk mangsa ke dinding, kerana dipercayai geram dengan gurauan itu.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai terlalu marah kerana memerlukan kad pengenalannya untuk belajar memandu.

Sementara itu, seorang surirumah menerima tiga jahitan di kepala selepas dipukul suaminya kerana gagal menyiapkan makanan di rumahnya di Taman Netas Maju, Mentakab pada Rabu lepas.

Mohd Haris berkata dalam kejadian pada 3 petang itu, suami mangsa yang berusia 55 tahun baru pulang daripada mencari kerja dan ingin menikmati makanan namun isterinya masih belum menyiapkan hidangan.

Katanya mangsa berusia 39 tahun kemudian dipukul dengan kayu di kepala oleh suaminya sebelum dipijak sehingga pengsan.

Kejadian itu turut disaksikan empat anak mereka yang berusia 5 hingga 13 tahun, katanya. - BERNAMA

0 Response to "Lelaki tumbuk sepupu wanita hingga patah hidung kerana geram dengan gurauan"

Post a Comment