[Video] Apa Yang Istimewanya Kereta Kabel Langkawi Ini?

kereta kabel

Apa Yang Istimewanya Kereta Kabel Langkawi Ini? (Video) | Mungkin rata-rata daripada kita pernah mengunjungi Pulau Langkawi sebagai salah satu destinasi percutian. Namun tidak lengkap rasanya jika kita berkunjung ke sana tanpa menaiki kereta kabel. Tahukah anda, lokasi kereta kabel ini telah dibina dipuncak gunung Mat Chinchang dan ia merupakan salah satu pusat tarikan di sana terutama daripada pelancong asing. Jika anda tidak percaya, boleh tonton video di atas untuk melihat gambaran tentang keindahan di sana.



JIKA ramai belum tahu, perkhidmatan kereta kabel Langkawi adalah satu destinasi wajib untuk dikunjungi kerana ia adalah antara yang terbaik di dunia!
Sayangnya belum ramai yang sedar fakta itu malah tidak langsung terusik untuk merasainya. Bukan terlepas pandang, cuma publisiti dan pendedahannya saja belum cukup luas.
Fakta itu disokong sendiri Shamsul yang menyifatkan puncak gunung Mat Chinchang bagai berada di sebuah lokasi asing di Malaysia.
“Memang sejak hari pertama bekerja, saya merasakan tempat kerja ini seperti di luar negara kerana cuacanya sejuk dan suasananya yang begitu tenang. Mana tidaknya, jauh hampir satu kilometer di puncak gunung, saya jarang sekali berpeluh walaupun lapangan kerja sebagai seorang jurutera,” katanya tersenyum.
kereta kabel2
kereta kabel3
Anak muda berusia 23 tahun juga kelahiran Pulau Legenda ini bertuah kerana akhirnya diterima bekerja di sebuah lokasi percutian yang menjadi tarikan utama pelancong asing ke Langkawi.
“Orang lain sibuk mencari cuti dan mengumpul wang untuk bercuti. Tapi saya, setiap hari bercuti!,” katanya lagi.
Bercerita soal cabaran dan kelainan lapangan kerjanya, graduan Kejuruteraan dari Kolej Teknologi & Profesional Indera Kayangan, Perlis yang masih belum berpunya ini hanya optimis akan segala macam kesukaran yang menjadi kebarangkalian kepada tugasnya.
“Tiada kerja yang mudah tapi bezanya cabaran selaku jurutera di puncak gunung sudah tentu keselamatan. Diri sendiri bukan lagi aspek utama sebaliknya objektif kerja saya adalah keselamatan setiap pengunjung yang menaiki kereta kabel ini.
Setiap hari saya perlu memastikan setiap gondola dalam keadaan sempurna selain kabel yang menghubungkan pencawang utama di bawah hingga ke puncak stabil dan selamat.
“Selain itu, aspek mekanikal dan teknikal adalah prospek utama yang perlu diperiksa setiap hari. Faktor cuaca dan keadaan angin juga adalah fokus saya bagi memastikan keadaan gondola dan kabel tidak terganggu atau memberikan risiko kepada pengunjung.
“Bayangkan, setiap hari lebih seribu orang menaikinya dan setiap bilangan nyawa itu adalah fokus utama saya. Alhamdulillah ia bukanlah berisiko mana kerana pembinaan dan teknikal kereta kabel ini sudah dijamin, cuma ‘malang itu tidak berbau’.
“Lantas keselamatan dan segala macam kebarangkalian itu perlu saya ambil serius agar pengunjung tidak sekali berdepan dengan situasi panik atau keadaan menakutkan,” katanya.
Tambah Shamsul, tugasnya juga membuka ruang terbaik mengenali budaya dan bahasa asing.
“Macam-macam jenis pelancong yang datang. Saya memang jenis yang gemar bersembang dengan mereka bagi mendapatkan reaksi atau komen mengenai sistem perkhidmatan ini.
“Justeru setiap kali itu juga saya akan berpeluang untuk berkenalan dengan mereka, belajar budaya atau cara komunikasi mereka. Ia memang satu pengalaman yang menyeronokkan kerana sebagai orang muda, saya berpeluang menambah kenalan sekali gus membuka perspektif hidup dengan lebih luas,” katanya.
TRIVIA:
1. Terletak di Gunung Mat Chinchang dan kos keseluruhannya melangkaui RM23 juta.
2. Tingginya 713 meter, panjangnya 2.2 kilometer dan terpanjang di dunia.
3. Dibina dari April 2001 hingga Ogos 2004 dan mula dibuka kepada umum pada 27 Februari 2005. Panjang keseluruhan kabel ialah 919.5 meter dan telah mencipta rekod Malaysian Book of Records.
4. Gondola akan tiba di puncak pertama yang jauhnya 1,700 meter pada ketinggian 650 meter dari aras laut.
5. Langkawi SkyBridge pula sepanjang 125 meter adalah salah satu daya tarikan yang unik di kompleks kereta kabel Langkawi. Ia siap dibina pada tahun 2004.
6. Kereta kabel ini menerima banyak anugerah termasuk ‘Prix Acer Awards dan Footbridge Awards 2005’ dari Swiss Institute of Steel Construction.
Sumber : Harian Metro

0 Response to "[Video] Apa Yang Istimewanya Kereta Kabel Langkawi Ini? "

Post a Comment